Daisypath Anniversary tickers Lilypie First Birthday tickers

Thursday, January 20, 2011

Awan gelap berkumpul [ep. 1]

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata : "Kami telah beriman." Katakanlah (kepada mereka) : "Kamu belum beriman, tetapi katakanlah "Kami telah tunduk", kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu, dan jika kamu taat kepada Allah dan rasul-Nya, Dia tiada akan mengurangi sedikit pun (pahala) amalanmu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar."           (al-Hujurat, 49 : 14~15)

   Peristiwa pemurtadan besar-besaran yang pertama sekali telah berlaku di Yaman dan ia dikenali sebagai Peristiwa Aswad Al Ansi. Aswad adalah seorang ketua kaum Ans - satu puak besar yang mendiami bahagian barat Yaman. Nama sebenarnya ialah Abhala bin Kab, tetapi disebabkan warna kulitnya yang tersangat hitam maka dia digelar Aswad, iaitu Yang Hitam. Dia adalah seorang lelaki yang mempunyai pelbagai kualiti tetapi tidak banyak yang perlu dicemburui, sebenarnya, sebelum murtad, dia hanya dikenali sebagai ketua suku kaum dan penilik nasib.

   Ketika tahun kesepuluh Hijrah, penduduk selatan dan tenggara Semenanjung Arab telah memeluk agama Islam. Nabi telah menghantar beberapa orang wakil, pengajar dan pendakwah ke merata tempat untuk melaksanakan tugas tersebut dan ia boleh dikatakan telah dapat diselesaikan. Tetapi kebanyakan penduduk kawasan ini tidak menjadi Muslim yang sejati, keislaman mereka lebih disebabkan oleh terikut-ikut dan bukannya keikhlasan perubahan hati.

   Sebelum Islam, Yaman diperintah oleh seorang gabenor Maharaja Parsi. Gabenor itu adalah seorang yang berbangsa Parsi dan berketurunan raja bernama Bazan. Lelaki ini telah memeluk agama islam dan kemudian disahkan perlantikannya sebagai gabenor Yaman oleh Rasulullah. Daerah itu makmur di bawah pemerintahannya kerana dia adalah seorang pegawai yang bijak dan salih; tetapi tidak lama sebelum Nabi melakukan Haji Terakhir, Bazan meninggal dunia, dan baginda melantik anaknya Shahr, sebagai gabenor San'a. Keamanan terus kekal di Yaman, tiada awan yang menghitamkan langitnya.

   Kemudian, pada ketika Nabi melakukan Haji Terakhir, Aswad memutuskan untuk menjadi seorang nabi. Dia mengumpulkan kaumnya dan membaca beberapa potong ayat yang diakuinya sebagai ayat-ayat Quran yang diwahyukan kepadanya, dan mengumumkan bahawa dia adalah pesuruh Allah.


[sumber : Pedang Allah Khalid bin Al-Walid, Kehidupan dan Kempen-kempennya]

to be continued...

No comments:

Post a Comment